LEDANG 17 Feb. - Seramai 81 penerima Bantuan Program Galakan Usahawan Jabatan Pertanian negeri di tapak pasar malam pekan Serom, Serom 3 di sini kelmarin, berazam meningkatkan produktiviti melalui bantuan mesin, peralatan dan insentif yang diterima.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20130218/wj_01/Pengusaha-IKS-diberi-peralatan
Published: February 18, 2013
ABDUL Ghani Othman memperkatakan sesuatu kepada penerima
Bantuan Program Galakan Usahawan di tapak pasar malam pekan
Serom, Serom 3, Ledang, baru-baru ini.
Menurut mereka, bantuan itu membuktikan kerajaan negeri serius membangunkan sektor pertanian selain menunjukkan keprihatinan terhadap pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) serta petani walaupun negeri ini terkenal dengan sektor perkhidmatannya.
Seorang penerima, Sadeli Katimin, 43, dari Parit Haji Idris, Bukit Gambir di sini mendapat sebuah mesin memerah santan bagi memudahkannya memproses dodol yang diusahakannya sejak dua tahun lalu.
Beliau yang menerajui syarikat SMTC Impian Bonda Enterprise yang memasarkan dodol ke Muar dan Batu Pahat berkata, mesin berharga RM6,000 itu mampu menambah kuantiti pengeluaran kuih tradisional tersebut.
"Jika sebelum ini pembuatan dodol agak lambat kerana saya terpaksa parut dan kisar sendiri kelapa dan kemudian memerahnya, ini memakan masa untuk menghasilkan dodol. Dengan adanya mesin ini ia mempercepatkan pembuatannya.
"Diharap dengan adanya mesin ini akan dapat membantu mengembangkan lagi perniagaan saya. Jika tidak ada permintaan dodol, saya juga menjual santan di Pasar Tani Bukit Gambir. Saya bercadang menambah mesin ini kerana permintaan dodol semakin meningkat," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom merasmikan majlis melibatkan 81 penerima dengan 13 daripada mereka menerima bantuan projek IKS dan selebihnya menerima insentif Program Meningkat Pengeluaran Tanaman Makanan.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Ab. Aziz Kaprawi; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M. Asojan dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang.
Norwati Jani, 58, dari Parit Jarum Darat, turut bersyukur kerana terpilih menerima sebuah mesin pemotong rumput kerana dapat meringankan bebannya yang sebelum ini terpaksa memotong sendiri rumput untuk kambing peliharaan.
Ibu kepada lima anak itu berkata, dia sudah lama merancang mendapatkan mesin berharga RM4,000 itu supaya urusan penyediaan rumput sebagai makanan lebih 100 ekor kambing dapat dilakukan dengan cepat.
"Mesin ini menjimatkan tenaga kerana sebelum ini dua pekerja diperlukan untuk memotong rumput sebelum boleh diberi makan kepada kambing. Mesin ini memotong rumput secara lebih halus berbanding kaedah biasa," katanya.
No comments:
Post a Comment