Saturday, November 3, 2012

Pembukaan syarikat loji pemprosesan emas di Lipis jana pekerjaan

KUALA LIPIS 1 Nov. - Kegiatan perlombongan emas kini menjadi antara sumber pendapatan utama negeri ini berikutan pembukaan Syarikat J Resources Penjom Gold Mine (SJRPGM) di Penjom dekat sini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121102/wp_02/Pembukaan-syarikat-loji-pemprosesan-emas-di-Lipis-jana-pekerjaan
Published: November 02, 2012

SJRPGM merupakan loji pemprosesan emas pertama termoden di negara ini selepas Selinsing Gold Mine Manager (SGMM) Sdn. Bhd. (SGMM) yang juga merupakan loji termoden kedua beroperasi di Selinsing dekat Sungai Koyan sejak 10 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Pengangkutan dan Pertumbuhan negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, kedua-dua loji emas berkenaan akan memberikan impak besar kepada pembangunan ekonomi daerah ini khususnya peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

"Sehingga ini, seramai 1,000 pekerja mahir dan separa mahir bekerja di SJRPGM Penjom manakala 229 penduduk tempatan bekerja di SGMM Selinsing dengan kadar upah yang lumayan.

"Pembukaan kedua-dua loji berkenaan sejak 10 tahun lalu memberi manfaat terhadap penduduk tempatan malah menyumbang hasil kepada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, pembukaan lombong emas kedua di situ digerakkan oleh tenaga kerja mahir dan separa mahir dalam kalangan penduduk tempatan yang boleh mengendalikan sektor berkenaan setanding dengan loji sama di negara Barat, China dan Afrika.

Katanya, urusan teknikal cari gali dan logistik loji di SJRPGM Penjom pada awalnya diselenggarakan oleh kepakaran pelombong Australia, kini diambil alih 100 peratus anak tempatan Kampung Penjom termasuk bidang pengurusan.

"Saya dimaklumkan ada dalam kalangan anak tempatan yang mengendalikan loji di Penjom dan Selinsing sudah menjalani pengalaman melombong sambil bekerja di Australia dan Amerika Syarikat (AS) dengan mempelajari kepakaran cari gali serta pemprosesan bahan mineral itu di negara berkenaan.

"Inilah yang membanggakan kerajaan negeri, kepimpinan setempat dan penduduk di sini kerana kedua-dua loji emas berkenaan yang terbesar dan termoden diterajui kepakaran tempatan," ujarnya.

Kata beliau, kejayaan itu membuktikan transformasi pembangunan modal insan dan ekonomi kerajaan negeri bergerak di landasan betul dan menepati wawasan negara.

Mohd. Sofi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, berkata, kepakaran dan pengalaman pekerja tempatan dalam bidang geologi dan eksplorasi memberi jaminan operasi cari gali emas di kawasan berkenaan tidak akan menjejaskan alam sekitar dan kawasan tadahan air.

No comments:

Post a Comment