Thursday, November 8, 2012

Koperasi PSMZA makin kukuh

DUNGUN 6 Nov. - Koperasi Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Berhad (Kosmiz Berhad) yang baru berusia 10 tahun mengekalkan prestasi cemerlang dengan mencatatkan keuntungan berterusan sejak penubuhannya.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20121107/wt_01/Koperasi-PSMZA-makin-kukuh
Published: November 07, 2012

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=707447
Published: November 07, 2012

ABU Bakar Zakaria (dua dari kiri) menyampaikan replika cek zakat Koperasi 
Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Berhad kepada Mohd. Amizan 
Abd. Rahman (kiri) di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) PSMZA, Abu Bakar Zakaria berkata, kejayaan itu adalah usaha pihak pengurusan yang berjaya menguruskan aset, pelaburan dan liabiliti dengan cekap dan berkesan.

"Koperasi ini diwujudkan bagi memenuhi permintaan kepada pelbagai kemudahan, perkhidmatan dan bekalan kepada warga politeknik yang mana keahliannya meningkat kepada lebih 4,000 orang terdiri daripada pegawai, pensyarah dan pelajar.

"Anggota yang mencarum boleh mendapat segala perkhidmatan dan bekalan dengan harga yang berpatutan di samping perkongsian keuntungan dalam bentuk dividen dan diskaun langganan," ujarnya.

Beliau ditemui dalam majlis penyerahan zakat perniagaan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (Maidam) di PSMZA dekat sini baru-baru ini.

Dalam majlis itu, PSMZA diwakili Abu Bakar menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM22,875.72 kepada wakil Maidam Cawangan Dungun, Mohd. Amizan Abdul Rahman.

Koperasi yang ditubuhkan pada 11 Julai 2002 itu memulakan pelaburan pertamanya melalui pembelian dua buah rumah teres di Taman Cenderawasih bernilai RM200,000 untuk disewakan kepada pelajar politeknik itu.

Bagi menambahkan aset kekalnya, pada tahun ini pula, koperasi itu membeli sebuah bangunan kedai tiga tingkat di kawasan Sura Bussiness Centre Dungun berharga RM480,000 yang kini telah disewa sebuah syarikat pembinaan dengan sewaan RM6,000 sebulan untuk tempoh dua tahun.

Selain itu, Kosmiz Berhad turut terlibat secara langsung dalam aktiviti pelaburan saham misalnya tahun ini telah melabur sebanyak RM100,000 (Saham Bank Rakyat), RM800,000 (Simpanan Tetap Bank Rakyat) serta RM200,000 (Simpanan Tetap di Bank Simpanan Nasional).

Menurut Abu Bakar, sejak mula ditubuhkan juga koperasi itu telah terlibat dalam pelbagai aktiviti perniagaan bertujuan menjana modal dan kewangan anggota misalnya dalam bidang hartanah, pelaburan saham, jualan barangan pengguna dan perniagaan sewaan.

Kata beliau, menerusi usaha itu koperasi tersebut berjaya menjana keuntungan dan setiap ahli mampu menerima dividen setiap tahun mencecah 40 peratus.

"Walaupun masih baru jika dibandingkan koperasi lain, namun koperasi ini telah mula mencipta nama apabila menerima beberapa anugerah dan penghargaan di atas pencapaian dan sumbangan yang telah dilakukan.
"Selama dua tahun berturut-turut kita memenangi Anugerah Koperasi Peringkat Negeri Terengganu iaitu pada tahun 2006 dan 2007 dengan dinobatkan sebagai Koperasi Harapan dan Koperasi Pengguna," jelasnya.

Tambahnya, pada masa depan Kosmiz Berhad merancang meneroka pelbagai bidang baharu yang bersesuaian bagi menambah pendapatan koperasi seperti sektor pembangunan hartanah, perkhidmatan pinjaman peribadi, perkhidmatan kontrak seperti cuci kawasan dan landskap, pengangkutan dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment