Sunday, September 2, 2012

Lesen pasar raya dikeluar semula?

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20120901/ek_01/Lesen-pasar-raya-dikeluar-semula

Published: September 02, 2012
Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
ekonomi@utusan.com.my

Kewujudan lebih banyak pasar raya bukan merupakan 
faktor lebih ramai peniaga runcit tutup kedai. - REUTERS

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Kerajaan tidak menolak akan menambah lesen baru bagi pasar-pasar raya besar di negara ini seandainya terdapat keperluan untuk meliberalisasi sektor perdagangan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pertimbangan semula itu akan dilakukan seandainya pengeluaran lesen baru itu nanti mampu menyokong pendapatan negara kasar (GNI) yang akan meningkatkan kutipan cukai.

Menurutnya, pertimbangan lain yang turut diberi perhatian ialah kemampuan pasar-pasar raya besar itu untuk menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, setakat ini keputusan membekukan pengeluaran lesen baru kepada pasar-pasar raya besar masih dikuatkuasakan, katanya.

"Keputusan (pembekuan lesen baru) yang dibuat sebelum ini masih kekal tetapi sekiranya liberalisasi sektor itu dilaksanakan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) maka kita perlu beri pertimbangan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Ismail Sabri berkata, pembekuan pengeluaran lesen baru bagi pasar-pasar raya besar diteruskan bagi melindungi pasar raya yang semakin bertambah meskipun kewujudan pasar-pasar raya besar memberi banyak kesan positif kepada para pengguna.

"Kita tidak boleh menafikan pasar raya besar menawarkan harga yang lebih baik hasil daripada perang harga antara mereka.

"Perang harga memang menguntungkan kerana ia memberi peluang kepada pengguna mendapat pilihan dan harga terbaik," ujarnya.

Tambah beliau, berbanding dengan pasar raya biasa, pasar raya besar masih tertakluk dengan peraturan dan kawalan yang ketat termasuk waktu operasi dan penentuan lokasi.

Beliau menafikan kewujudan lebih banyak pasar-pasar raya akan menyebabkan lebih ramai peniaga runcit tutup kedai.

Tegasnya, peniaga runcit tidak akan terjejas kerana perkhidmatan yang diberikan cukup berbeza dengan pasar raya besar.

"Peniaga runcit menawarkan perkhidmatan yang tidak diberikan oleh pasar raya. Contohnya hanya di kedai runcit pengguna boleh mendapat gas, memberi barangan dalam jumlah yang kecil," tambahnya.

No comments:

Post a Comment