Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MasyarakatdigalaklibatdiridalampasaranAr-Rahnu/Article/
Published: September 14, 2012
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, masa depan pasaran Ar-Rahnu sangat cerah dan berpotensi menghasilkan pulangan yang menjangkau jutaan ringgit dan masih belum diteroka.
Jamil Khir berkata, usaha pihak seperti YaPEIM mengetengahkan sistem Ar-Rahnu kepada masyarakat adalah langkah yang sangat tepat di mana ianya memberi banyak pendedahan dan satu daripada strategi meningkatkan keyakinan untuk menarik lebih ramai masyarakat membabitkan diri dalam pasaran Ar-Rahnu.
Sementara itu, Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YaPEIM, Datuk Abd Malek Awang Kechil, berkata YaPEIM kini mempunyai 46,000 ahli Kelab Sahabat Ar-Rahnu (MASA) yang memanfaatkan Ar-Rahnu YaPEIM sebagai saluran mendapat modal menjayakan perniagaan secara kecil-kecilan seterusnya berusaha memajukan diri dan keluarga.
Katanya, ahli yang terdiri daripada usahawan kecil dan sederhana (IKS) ini bukan hanya pelanggan kemudahan mikro kredit Ar-Rahnu, tetapi juga bakal usahawan yang dibantu YaPEIM dari segi latihan dan kemahiran perniagaan melalui kursus yang dijalankan yayasan berkenaan untuk mereka.
"Kita bukan hanya berikan khidmat nasihat dalam selok-belok perniagaan, malah turut diberi peluang bertemu mata dengan usahawan yang berjaya dalam sesi tidak formal untuk mereka lebih mengetahui tentang perniagaan," katanya.
Katanya, YaPEIM juga akan terus melaksanakan program kecemerlangan komuniti dalam pendidikan dan kebajikan.
"Dari segi pendidikan, YaPEIM kini membantu kira-kira 1,500 pelajar yang dipanggil 'anak angkat' dalam Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Nasional (SANTUN) dan 335 anak yatim dari 118 keluarga dibantu di bawah Skim Pembangunan Anak Yatim/miskin yang ditimpa musibah iaitu bantuan sebanyak RM200 seorang setiap bulan secara berterusan dengan minimum selama setahun," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment