Published: September 03, 2012
Oleh ZAAIN ZIN
utusansarawak@utusan.com.my
KUCHING 2 Sept. - Operasi bersepadu Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri yang bermula sejak kelmarin merekodkan sebanyak 16 kes baru membabitkan kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dengan nilai rampasan mencecah RM27,000.
Pengarahnya, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, dalam operasi sama, sebanyak 33 amaran dikeluarkan kepada peniaga borong dan runcit yang didapati gagal memperbaharui lesen alat timbang dan sukat bagi tujuan perdagangan.
"Menerusi operasi yang dilakukan di seluruh negeri sejak Jumaat lepas, kita juga mengesan pelbagai cara digunakan para peniaga untuk meraih keuntungan berlipat ganda.
"Antara kesalahan itu adalah memecahkan penutup pada alat timbang untuk membuat pengubahsuaian," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan pemeriksaan alat timbang dan sukat di Pasar Minggu Satok, di sini hari ini.
Kata Wan Ahmad Uzir, setiap alat timbang dan sukat bagi kegunaan perdagangan diwajibkan menjalani pemeriksaan dan ditentusahkan setiap tahun, di samping perlu memiliki sijil perakuan berserta pelekat label keselamatan yang tertera tempoh sah, had terima, nombor rujukan ujian serta siri keselamatan.
"Jika gagal membuat pemeriksaan demikian, peniaga boleh didenda tidak melebihi RM4,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, wakil Metrology Corporation Malaysia Sdn. Bhd., Aminul Husaini A. Hamid menasihatkan pengguna supaya lebih peka dan berhati-hati apabila membeli barangan yang ditimbang.
"Selain memastikan peniaga menimbang dengan cara betul, pengguna perlu melihat sama ada alat timbang yang digunakan itu masih dalam tempoh sah berdasarkan kepada pelekat keselamatan," katanya.
No comments:
Post a Comment