Monday, September 17, 2012

AIM dedah formula kejayaan

Kuala Lumpur: Model Kewangan Mikro yang dipraktikkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menjadi tunjang utama yang membolehkan institut kewangan mikro itu bertahan sehingga 25 tahun sejak penubuhannya pada 1987. 

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/AIMdedahformulakejayaan/Article
Published: September 17, 2012

Pengerusinya, Datuk Amihamzah Ahmad, berkata pelaksanaan model berkenaan adalah hasil daripada falsafah ‘Amalan Baik Pembiayaan Mikro’ (GMfP) yang menjadi asas dalam setiap langkah dan tindakan pada semua peringkat lembaga, kakitangan dan peminjam di seluruh negara.

“Bagi memastikan kelangsungan AIM sehingga kini, penerapan nilai murni seperti tanggungjawab, kepemimpinan, konsep berkumpulan serta penekanan terhadap disiplin kredit kepada peminjam harus dilaksanakan.

“Hasil usaha selama 25 tahun membolehkan kami mewujudkan komuniti peminjam yang dikenali sebagai sahabat dan kini mencecah lebih 300,000 orang,” katanya di sini, baru-baru ini.

Basmi kemiskinan Katanya, sokongan daripada kerajaan serta kerjasama dengan pemimpin masyarakat turut membantu AIM mengembangkan operasinya ke seluruh negara.

AIM ditubuhkan pada 17 September 1987 melalui Surat Cara Perjanjian AIM dan didaftarkan di bawah Akta Amanah (Pemerbadanan) 1952.

Penubuhan AIM adalah sebagai agensi pelengkap kerajaan dalam dasar pembasmian kemiskinan negara.
Beliau berkata, negara berjaya mengurangkan kadar kemiskinan daripada 17.1 peratus pada 1990 kepada 3.8 peratus pada 2009.

“Ini membuktikan dasar dilaksanakan kerajaan berjaya mengurangkan kadar kemiskinan, di samping peranan agen pelaksana seperti AIM yang turut menyokong pencapaian itu,” katanya.

Sementara itu, Zaiton Abdullah, 48, yang menjadi ahli AIM sejak 1997, berkata pinjaman yang diberikan ternyata mampu meningkatkan pendapatan bulanannya.

“Saya mengusahakan perkhidmatan pelamin, katering dan khemah untuk majlis keraian di sekitar Kelantan.

“Sebelum memohon pembiayaan AIM, purata pendapatan bulanan hanya RM500, namun menerusi pembiayaan yang diberikan, saya mampu untuk mengembangkan perniagaan dan memperoleh purata RM5,000 sebulan,” katanya yang berasal dari Machang, Kelantan.

Segera jadi ahli
Bagi Amizah Kasim, 42 dari FELDA Teloi di Kuala Ketil, Kedah pula, pinjaman RM2,000 pada 2005 membuka laluan untuk mengembangkan perniagaan yang diusahakan secara kecil-kecilan.

Beliau juga menggalakkan wanita tiada pendapatan tetap menjadi ahli AIM kerana ia mampu mengubah ekonomi mereka ke tahap yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment