Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/malaysia-miliki-lebih-9-000-koperasi-dengan-aset-rm92-8-bilion-1.86888
Published: September 20, 2012
SIBU - Sekalipun memiliki aset bernilai RM92.8 bilion dengan keanggotaan
7.4 juta orang, sektor koperasi di negara ini masih gagal mencapai
kemajuan memberangsangkan dari segi sumbangan ekonomi negara.
Ketua Pengarah Maktab Koperasi Malaysia (MKM) Idris Ismail berkata ini
kerana masih ramai menganggap sektor itu hanya institusi sosial
berprofil rendah, bukan instrumen ekonomi berpotensi besar.
"Pemimpin dan anggota koperasi masih lagi tidak dapat melihat
kepentingan untuk mengamalkan dan menjiwai budaya serta ciri-ciri
keusahawanan yang sebenar," katanya pada majlis Bicara Tokoh Usahawan:
Perkongsian Rahsia anjuran MKM Sarawak, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah MKM Sarawak Ngadi Robin.
Idris berkata dengan lebih 9,000 koperasi didaftarkan setakat Disember
lepas, sektor itu harus mencontohi gerakan koperasi di Norway dan
Finland yang memainkan peranan dominan dalam industri tenusu dengan
mengeluarkan lebih 96 peratus daripada jumlah pengeluaran susu negara
berkenaan.
Sementara itu, Idris berkata sektor koperasi negara menyasarkan
sumbangan sebanyak lima peratus Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang
2013 di bawah Dasar Koperasi Negara (DKN) 2011-2020.
Sasaran itu akan dicapai menerusi pelbagai bidang sama ada secara
bersendirian, program vendor atau kerjasama dengan syarikat swasta,
syarikat milik kerajaan dan syarikat multinasional.
Katanya MKM telah menganjurkan pelbagai kursus dan program sepanjang
tahun ini dengan hasrat melahirkan lebih ramai anggota yang berilmu dan
berpengetahuan luas serta mempunyai semangat keusahawanan dalam sektor
koperasi.
"Anggota koperasi juga digalakkan untuk mengikuti program Sijil
Pengurusan Koperasi, Diploma Pengurusan Koperasi dan Ijazah Pentadbiran
Perniagaan (Major Pengurusan Koperasi).
"Program diploma dan ijazah hanya dijalankan sepenuh masa di Maktab Koperasi Malaysia Petaling Jaya," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment