Wednesday, August 29, 2012

SKM sedia bantu koperasi tubuh kedai runcit di bawah program tukar

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/skm-sedia-bantu-koperasi-tubuh-kedai-runcit-di-bawah-program-tukar-1.79376

Published: August 28, 2012

KOTA BAHARU - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan memberi bantuan sehingga RM50,000 untuk kerja pengubahsuaian dan pinjaman tanpa cagaran juga sehingga RM50,000 sebagai modal pusingan kepada koperasi di Kelantan yang berminat menubuhkan kedai runcit.

Pengarah SKM cawangan Kelantan Wan Mohamad Sabri Wan Harun berkata bantuan berkenaan melibatkan pengubahsuaian premis perniagaan seperti papan tanda, rak barangan, komputer dan alat penyaman udara manakala pinjaman itu dikenakan faedah dua peratus.

Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mensasar untuk mewujudkan 14 kedai runcit koperasi di bawah Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) di negeri ini tahun ini.

Setakat ini, katanya, terdapat tujuh kedai runcit milik koperasi terlibat dengan program Tukar di Kelantan.

Koperasi tersebut ialah Koperasi Kakitangan Penjara Bhd, Koperasi Institut Pendidikan Guru Bhd, Koperasi Felda Kemahang (II), Koperasi Gerak Niaga Gua Musang, Koperasi Kampung Pasir Parit Chetok Bhd, Koperasi Pemandu Kereta Sewa Pasir Mas Bhd dan Koperasi Pengguna Kelantan Bhd.

Beliau berkata terdapat tujuh lagi koperasi yang kini dalam proses mengubah suai kedai mereka untuk dinaikkan taraf dalam program Tukar.

Beliau berkata program Tukar yang diperkenalkan kementerian sejak tahun lalu itu tidak melibatkan 145 kedai koperasi sekolah di seluruh negeri.

"Setakat ini, program Tukar hanya melibatkan koperasi dewasa kerana koperasi sekolah hanya melibatkan perniagaan peralatan persekolahan dan kedai runcit secara kecil-kecilan," katanya.- Bernama

No comments:

Post a Comment