Wednesday, August 29, 2012

Pelajar MKM Terima Kad Diskaun Siswa 1Malaysia

PETALING JAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Pelajar Maktab Koperasi Malaysia Selasa merupakan kumpulan pertama menerima Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) yang memberi kemudahan sehingga 60 peratus potongan harga ketika membeli-belah di pasar raya dan kedai terpilih di seluruh negara.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=690316
Published: August 28, 2012

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata KADS1M akan diedarkan secara percuma kepada pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mempunyai kad metrik pelajar.

"KADS1M ini dapat mengurangkan kos sara hidup harian pelajar dan membuktikan bahawa kerajaan prihatin terhadap kebajikan pelajar IPTA dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

"Inisiatif mewujudkan KADS1M ini adalah hasil cadangan daripada pelajar pada mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dengan Kementerian Pengajian Tinggi di Putrajaya pada 21 November, tahun lepas (2011)," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama menteri dalam meraikan sambutan Aidilfitri dan majlis penyerahan KADS1M kepada pelajar Maktab Koperasi Malaysia (MKM) di sini Selasa.

Hadir sama di majlis itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Daud Tahir, Ketua Pengarah MKM Idris Ismail dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Md Yusof Samsudin.

Ismail Sabri berkata kementerian dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi akan menganjurkan kempen KADS1M di semua IPTA dan IPTS di seluruh negara bagi menggalakkan pelajar menggunakan kad diskaun tersebut.

Kementerian menjangka lebih satu juta pelajar IPTA dan IPTS bakal menikmati kemudahan potongan harga apabila mereka membeli-belah di pasar raya dan kedai terpilih apabila ia dilaksanakan mulak September ini, katanya.

Lebih 1,200 kedai terpilih termasuk pasar raya, kedai sukan, kedai cermin mata, kedai buku, kedai makanan segera termasuk tiga syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines (MAS), MASwings dan Firefly telah menyertai program KADS1M tersebut.

"KADS1M adalah percuma dan tidak mempunyai tarikh luput dan pelajar boleh menggunakan kad itu sehingga tamat tempoh pengajian mereka, caj sebanyak RM2 dikenakan sekiranya kad berkenaan hilang atau rosak," katanya.

KADS1M dikeluarkan oleh Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) terbuka kepada semua pelajar IPTA dan IPTS di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, Institut Perguruan, dan lain-lain kementerian yang ditentukan oleh KPDNKK, kata Ismail Sabri.

Katanya, pelajar bukan warganegara Malaysia akan dikenakan yuran pendaftaran sebanyak RM5.

Menurut menteri itu, KPDNKK menerusi Bank Rakyat merancang mewujudkan skim kad debit khusus untuk penggunaan penuntut separuh masa di IPTA, IPTS dan pelajar luar negara pada masa depan.

Bagaimanapun, katanya, tempoh pelaksanaannya masih belum ditetapkan lagi dan maklumat lanjut KADS1M boleh diperolehi terus daripada mana-mana cawangan Bank Rakyat atau menghubungi Bank Rakyat di talian 1-300-88-12265.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment