Monday, September 10, 2012

Kerjasama uji ketulenan

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kerjasamaujiketulenan/Article/index_html

Published: September 10, 2012
Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my

T&T Gold and Silver Sdn Bhd, syarikat yang terbabit dalam pembuatan dan perdagangan emas serta perak menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi menjalin kerjasama menguji ketulenan logam itu termasuk penyediaan kemudahan dan alatan pengujian serta pengeluaran sijil ketulenan.

Pengarah Urusannya, Tony Saw WT, T&T Gold and Silver adalah syarikat pertama menjalinkan kerjasama dengan USM dalam bidang berkenaan sekali gus memberikan kelebihan kepada mereka berbanding syarikat lain yang terbabit dalam perniagaan itu.

“Syarikat pembekal dan pengedar emas serta perak semakin bertambah bagaikan cendawan tumbuh lepas hujan, tetapi tidak banyak yang mempunyai penguji emas dan perak bagi menentukan ketulenannya.

“Menyedari hakikat ini, kami mengorak langkah menjalin kerjasama dengan USM bagi memberi keyakinan kepada pelanggan yang berurusan dengan kami,” katanya di Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, T&T Gold and Silver diwakili Saw manakala USM diwakili Pensyarah Kejuruteraan Bahan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Profesor Madya Ahmad Badri Ismail.

Antara produk ditawarkan T&T Gold and Silver ialah emas ditempa, siri Medina Au 999.9; syiling dinar siri Medina Au 999.9; barang kemas dinar Au 916; perak ditempa siri Medina Ag 999 dan perak dituang Ag 999.
Beliau berkata, berikutan permintaan dan jualan yang semakin meningkat, syarikat itu memindahkan pejabat operasinya ke Kota Damansara yang dilengkapi dengan kilang memproses serta membentuk emas dan perak, kaunter pengambilan stok, kafetaria serta auditorium.

Selain itu, barang kemas dinar keluaran T&T Gold and Silver adalah produk pertama dikeluarkan di negara ini, malah mungkin di dunia dan pengeluaran produk khas itu bertujuan mendidik masyarakat mengenai timbangan berat dinar.
Tony berkata, T&T Gold and Silver yang ditubuhkan pada 2010 menyasarkan 5,000 pembekal di seluruh negara tahun ini dan sehingga kini pihaknya mempunyai 2,000 pembekal.

Sementara itu, Ahmad Badri berkata, menerusi perjanjian itu, USM akan membantu daripada segi analisis, sistem penyampaian selain teknologi untuk membentuk produk.

No comments:

Post a Comment