Sunday, September 9, 2012

RM5 juta disalurkan kepada 202 francaisi

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/rm5-juta-disalurkan-kepada-202-francaisi-1.82855

Published: September 09, 2012
M JEFFRI RAZALI

RM5 juta disalurkan kepada 202 francaisi
Ismail Sabri ketika cabutan nama pemenang pertandingan 
Daily Fresh sambil dibantu Ghafaar (kiri) dan Ghazale, semalam.

MELAKA - Sebanyak RM5 juta daripada RM8 juta yang diperuntukkan menerusi Skim Pinjaman Kecil Francais (SPKF) disalurkan kepada 202 bakal francaisi sejak ditubuhkan tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 1,040 orang membuat permohonan sejak dilancarkan Oktober lalu, bagaimanapun, hanya 202 terpilih.

Beliau berkata, kemudahan pinjaman mikro di bawah SPKF itu bertujuan menggalakkan lebih ramai masyarakat menceburi bidang keusahawanan francais yang semakin berkembang.

Di bawah skim pinjaman itu, katanya, bakal francaisi akan mendapat pinjaman tidak lebih RM50,000 atau margin pembiayaan sehingga 90 peratus dengan kadar faedah tiga peratus setahun.

“Menerusi skim pinjaman mikro ini, sesiapa saja boleh cebur diri dalam bidang keusahawanan francais ini.,” katanya selepas perasmian Program Francais Komuniti Melaka di perkarangan Pasaraya Tesco, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Ghafaar Atan; Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna Negeri,
Datuk Ghazale Mohamad serta Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan Melaka, Muhabir Ibrahim.

Program Francais Komuniti itu disertai 26 francaisor, iaitu sebuah pusat sehenti bagi mereka yang minat bidang francais mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Setakat ini, diadakan di 13 lokasi di sembilan negeri berjaya mencatatkan pencapaian nilai potensi pelaburan francaisi hampir RM99.3 juta.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, keberkesanan program itu jelas apabila ada francaisi makanan segera yang mampu bersaing dengan jenama antarabangsa.

No comments:

Post a Comment