Sunday, September 2, 2012

Aktiviti Barang Kemas Dijangka Alami Penurunan Ekoran Pengguna Berjimat

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=690984

Published: September 02, 2012

Oleh Samantha Tan Chiew Ting

GEORGE TOWN, 30 Ogos (Bernama) -- Pengusaha barang kemas dijangka menyaksikan penurunan dalam aktiviti perniagaan tahun ini berikutan langkah -langkah penjimatan dalam kalangan pengguna ketika situasi ekonomi dunia lemah.

Bagaimanapun salah sebuah syarikat barang kemas utama, Wah Chan Gold and Jewellery, yakin impak itu akan ditampung oleh pelanggan tempatan serta sokongan berterusan daripada pembeli untuk tujuan pelaburan.

Pengurus Pemasarannya Michelle Chan berkata membeli emas atau barang kemas merupakan sebahagian daripada tradisi, dan Wah Chan mencatat pertumbuhan besar terutama minat yang semakin meningkat terhadap emas putih dan batu permata dalam kalangan generasi muda.

"Ramai memilih reka bentuk baharu dan mengikut trend pada tahap minimum untuk kegunaan harian.

"Kami menjangka menyaksikan pertumbuhan yang lebih baik dalam perniagaan atas reka bentuk mengikut trend serta perkhidmatan peribadi kami," katanya kepada Bernama hari ini.

Bagi menampung permintaan yang semakin meningkat, beliau berkata Wah Chan merancang membuka enam hingga 10 premis baharu tahun depan, dan menambah syarikat itu sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai.

Wah Chan kini mempunyai 40 kedai di seluruh negara yang terletak dalam pusat membeli-belah dan pasar raya besar di kawasan utama di Lembah Klang, Pulau Pinang, Melaka, Seremban, Kuantan, Johor Bahru dan Ipoh.

Mengenai unjuran industri itu, Chan berkata pasaran itu perlu memperkenal reka bentuk baharu, bahan dan produk inovasi.

"Walaupun harga emas ditentukan oleh pasaran, aspek reka bentuk masih memain peranan penting selain bahan dan seni ketukangan," katanya.

Chan berkata penawaran Wah Chan memenuhi segmen berlainan - muda, profesional, pasangan muda, mereka yang menghargai barang kemas selain barisan produk untuk tujuan pelaburan.

Wah Chan yang ditubuhkan pada 1955, telah berkembang dan menjadi pakar dalam berlian, batu permata dan emas putih.

Ia menawarkan pelbagai jenis produk, daripada emas kuning, berlian, pelbagai jenis batu permata termasuk delima, nilam, zamrud dan jed untuk pelaburan dan hadiah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment