Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/ProgramTUKARmampujanaekonomipeniagakedairuncit/Article
Published: on 30 January 2012
Tesco Stores komited bantu kerajaan modenkan kedai kecil
TESCO
Stores (Malaysia) Sdn Bhd komited untuk membantu kerajaan memodenkan
perniagaan runcit di negara ini menerusi Program Transformasi Kedai
Runcit (TUKAR), yang dijangka mampu menjana pertumbuhan ekonomi.
Ketua Eksekutifnya, Sung-Hwan Do, berkata Tesco amat berbesar
hati dapat membantu pemilik kedai runcit kecil untuk beroperasi dengan
lebih baik dan setakat ini, mengubah wajah 101 kedai seluruh
Semenanjung Malaysia di bawah program itu.
Bercakap kepada Bernama selepas pelancaran semula Pasar Mini Harvest
Packaging, iaitu antara peserta di bawah program TUKAR, kelmarin, Do
berkata, Tesco akan mengubah wajah 100 lagi kedai tahun ini.
Pelancarannya disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin. Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Program TUKAR dimulakan untuk membantu kedai kecil meningkatkan
daya saing mereka menerusi penggunaan teknologi moden. Ia juga
menggalakkan pemindahan pemilikan daripada generasi lama kepada generasi
baru.
Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Kerajaan Tesco,
Azlam Shah Alias, berkata pasar raya besar itu melabur RM150,000 untuk
transformasi perintis membabitkan dua kedai di Shah Alam dan Puchong.
"Ini adalah kali pertama di dunia, yang mana pasar raya besar
membantu mentransformasikan perniagaan kecil. Ia tidak pernah dilakukan
di mana-mana juga di dunia," katanya.
Beliau berkata, Tesco memperuntukkan lebih 100 kakitangannya
untuk program TUKAR, yang mana mereka bertindak sebagai perunding dengan
pekedai runcit dari segi reka letak kedai, rangkaian produk, tempat
peraga serta latihan untuk pengurusan operasi kedai moden.
“Transformasi ini amat berjaya sekali sehinggakan semua kedai yang
menyertainya mencatatkan purata pertumbuhan 40 peratus dari segi
pendapatan.
"Sebuah kedai di Gombak mencatatkan pertumbuhan jualan 94 peratus.
Pemiliknya begitu gembira melihat kedainya begitu moden dan mudah
diakses. Hasilnya, ia mencatatkan peningkatan dalam kekerapan dan
pembelian pengguna," tambahnya.
Pemilik Pasar Raya Harvest Pac-kaging, Jessica Wong, berkata tiga
bulan selepas kedainya dibuka semula, ia mencatatkan kenaikan 30 peratus
dalam aliran pengguna dan lonjakan 60 peratus untuk jualan.