Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm
Published: Jun 25, 2012
KUALA LUMPUR 24 Jun - Koperasi Angkatan Tentera
Malaysia Bhd. hari ini mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 14
peratus atau RM110 juta bagi tahun kewangan 2011 kepada ahli-ahlinya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata,
pengagihan itu berikutan pencapaian prestasi koperasi yang
memberangsangkan apabila mencatat keuntungan sebanyak RM212 juta pada
tahun lalu berbanding RM159 juta (2010).
''Kejayaan itu sekali gus memperlihatkan koperasi telah berjaya
mengumpul aset bernilai lebih RM2 bilion pada tahun lalu dengan jumlah
ahli kira-kira 144,000 orang di samping meletakkan koperasi tentera
sebagai yang berjaya.
''Justeru, kita menjangkakan pada 2015 aset akan meningkat kepada RM3
bilion dan menjelang 2020 mencapai sebanyak RM10 bilion. Ini akan
menjadikan koperasi tentera sebagai yang paling berjaya selain Bank
Rakyat (Bank Kerjasama Rakyat),'' katanya selepas merasmikan Mesyuarat
Agung Tahunan Koperasi Tentera Ke-47 di sini.
Pada majlis itu, turut berlangsung pemilihan tiga Ahli Lembaga Koperasi Tentera Malaysia yang baru bagi sesi 2012/2013.
Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal
Abidin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar;
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Pengerusi
Koperasi Tentera, Brigedier Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar.
Ahmad Zahid seterusnya menyarankan kepada pihak pengurusan supaya
memperluaskan skop perkhidmatan dan aktivitinya kerana langkah itu boleh
membawa keuntungan kepada pendapatan ahli dan koperasi.
Dalam hubungan itu, beliau memuji usaha terbaru pihak pengurusan
koperasi apabila menceburi industri sistem pajak gadai Islam, Ar-Rahnu
dengan membuka tiga cawangan iaitu di Kota Bharu, Kelantan; Kluang,
Johor dan Sungai Besi, Kuala Lumpur menjelang penghujung tahun ini.
Terdahulu, semasa berucap, beliau menyeru anggota tentera agar terus
memberikan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak kerana menyifatkannya sebagai pemimpin yang tidak pernah
terlepas mengambil berat soal kebajikan tentera.
''Insya-Allah kalau Perdana Menteri kita terus menjadi pemimpin
selepas pilihan raya ini, saya yakin akan ada pengumuman luar biasa
untuk anggota tentera,'' katanya.
Pada majlis itu, koperasi turut memberi sumbangan berbentuk cek
pampasan kematian, cek pampasan kecederaan dan bantuan alat perubatan
kepada empat ahli keluarga anggota tentera.
No comments:
Post a Comment