Monday, February 4, 2013

Golden World cetus impian baru

MENGAPA mesti emas? Bukankah menyimpan wang berkepuk-kepuk di dalam bank lagi senang dan bagus?
Ramai masih tidak sedar mengenai kepentingan menyimpan emas. Sehari dua memang tidak nampak hasilnya tetapi bagaimana selepas beberapa tahun?

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/golden-world-cetus-impian-baru-1.127686
Published: February 04, 2013

Golden World
Noraini (dua, kanan) ketika merasmikan syarikat Golden World

Golden World mencetuskan satu impian baru kepada mereka yang inginkan satu perubahan unggul dalam sistem simpanan masa depan.

Syarikat milik penuh Bumiputera ini menjalankan perniagaan menjual dan membeli emas fizikal.

Ia diperbadankan dengan nama Gold Bullion World Sdn Bhd pada 27 September tahun lalu.

Bagi penjualan, Golden World menjual emas berjenama terkenal di dunia, Pamp Suisse sementara bagi pembelian, syarikat ini menerima semua jenis emas dan harga belian bergantung kepada kandungan emas dalam sesuatu item yang dibeli.

Pelaburan lumayan masa depan
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Hamizan Mohd Safaia berkata, sudah tiba masanya rakyat Malaysia dididik betapa pentingnya memiliki emas pada masa depan. Bukan sekadar menganggapnya sebagai barangan perhiasan semata-mata sebaliknya boleh dijadikan jalan pelaburan yang lumayan pada masa depan.

“Berdasarkan pengalaman saya sendiri dalam bidang kewangan selama 10 tahun, justeru saya mengambil inisiatif menubuhkan syarikat ini bagi membantu rakyat Malaysia dalam merancang simpanan untuk kehidupan masa depan.

“Simpanan emas berbentuk fizikal sangat bernilai kerana nilainya meningkat dari sehari ke sehari berbanding sekiranya seseorang individu itu hanya menyimpan wang.

“Misalnya seseorang itu membeli emas sekarang. Bagaimana nilai emas itu pada 10 tahun akan datang. Mereka boleh menjualnya semula dengan harga tinggi kerana nilai dan harga emas meningkat dari sehari ke sehari,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian sekali gus pelancaran syarikat beliau baru-baru ini.

Majlis disempurnakan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad. Saluran betul beli, jual emas Mohd Hamizan berkata, visi syarikat ialah mendidik masyarakat betapa pentingnya menyimpan emas dan perak.

Justeru pihaknya berhasrat mewujudkan kesedaran kepada orang ramai supaya membeli, memegang dan memiliki emas fizikal demi keuntungan bagi beberapa tahun akan datang.

"Bukan dengan cara menyimpan semata-mata wang tunai," katanya.

Menurutnya, Golden World sebagai tempat atau saluran yang betul kepada masyarakat untuk membeli dan menjual emas supaya mereka tidak berurusan di premis yang salah.

Selain itu katanya, rentetan penubuhan Golden World juga memberi peluang dalam pembangunan karier sebagai penasihat perniagaan emas kepada mereka.

“Hari ini kita merasakan wang sangat bernilai. Tetapi kita tidak sedar nilai wang makin hari makin susut. Justeru menyimpan emas adalah pelindung nilai yang terbaik daripada kesusutan nilai mata wang serta kenaikan kadar inflasi yang menyebabkan wang simpanan kita menyusut nilainya.

“Sistem ekonomi dunia akan stabil sekiranya seluruh dunia menggunakan emas dan perak sebagai alat perantara atau sebagai sandaran pengukur nilai mata wang sesebuah negara.

“Tetapi tidak mudah kita hendak mengubah sistem mata wang dunia. Namun, kita berkuasa dan mampu mengubah sistem simpanan sendiri dengan bertukar kepada portfolio simpanan emas fizikal," katanya.

Jual harga emas lebih rendah
Menurutnya. konsep Golden World lebih kurang sama dengan sebuah kedai emas, tetapi syarikat kami menjual emas dengan harga yang lebih rendah.

Bagaimanapun jangan urusan perniagaan ini disamakan dengan syarikat Multi Level Marketing (MLM) kerana perniagaan yang mereka jalankan bukan berasaskan produk.

Beliau berkata, setakat ini syarikatnya telah mempunyai seramai 300 agen berdaftar dan pada tahun ini pihaknya menyasarkan jualan lebih daripada RM1 bilion.

“Berdasarkan kajian, kira-kira 95% daripada rakyat di negara ini tidak tahu mengenai penggunaan emas pada masa depan.

“Perlu kita ingat bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda 'akan tiba suatu zaman, tiada apa yang lebih berharga kecuali emas dan perak'.

“Oleh itu, pihak kami berusaha mendidik masyarakat kita hari ini supaya memilih emas dalam merancang simpanan untuk pada masa depan kerana ia boleh beri keuntungan berganda,” katanya.

Saturday, February 2, 2013

KPDNKK Lulus RM5.4 Juta Untuk Majukan Koperasi Di Besut

BESUT, 2 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan meluluskan RM5.4 juta bagi membantu memajukan koperasi di daerah Besut tahun ini.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=925634
Published: February 02, 2013

Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Besut Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata peruntukan itu diluluskan bagi membiayai Tabung Modal Pusingan untuk tiga koperasi dan Bantuan Pembangunan untuk tiga lagi koperasi.

Tiga koperasi yang menerima Tabung Modal Pusingan ialah Koperasi Guru-Guru Melayu Besut Berhad (RM5 juta), Koperasi Felda Selasih Besut Berhad (RM204,300) dan Koperasi Bersatu Jaya Pulau Perhentian Besut Berhad (RM103,500).

Peruntukan bagi Bantuan Pembangunan pula ialah untuk Koperasi Guru-Guru Melayu Besut Berhad (RM50,000), Koperasi Kemahiran Muda (Kemuda) Besut Berhad (RM43,026) dan Koperasi Sekolah Menengah Agama Maarif Besut Berhad (RM20,000).

Sementara itu, berucap melancarkan Majlis Perundingan Koperasi dan Mini Karnival Koperasi Parlimen Besut di sini, Abdullah yang juga Anggota Parlimen Besut meminta umat Islam agar tidak terkeliru dan terpengaruh dengan isu-isu agama yang banyak ditimbulkan pelbagai pihak menjelang pilihan raya umum ke-13.

-- BERNAMA

Poh Kong Rancang Buka 3-5 Cawangan Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Poh Kong Holdings Bhd merancang untuk membuka tiga hingga lima cawangan baru tahun ini, kata Pengerusi/Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Eddie Choon Yee Seiong.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/poh-kong-rancang-tambah-cawangan-1.127151
Published: February 02, 2013

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=925227
Published: February 02, 2013

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini pada Khamis, beliau berkata pelaburan bagi setiap cawangan adalah kira-kira RM3 juta.

Sehingga kini, dua lokasi, Seremban dan Kota Damansara, telah dikenal pasti, kata beliau dan menambah bahawa syarikat kini mempunyai 107 cawangan.

Di pasaran baru, Choon berkata syarikat merancang untuk berkembang ke Sabah dan Sarawak dalam masa tiga tahun.

"Kami masih meninjau tempat yang sesuai untuk membuka cawangan di sana, terutamanya pusat membeli belah, yang mempunyai potensi pasaran yang baik untuk peminat barang kemas," katanya.

Mengenai pertumbuhan syarikat, beliau berkata Poh Kong berharap dapat menyamai prestasi tahun lepas, disokong ole permintaan kukuh bagi aksesori barang kemas.

"Poh Kong yakin tahap perbelanjaan pengguna yang tinggi disebabkan oleh Kuala Lumpur diletakkan dalam ranking destinasi membeli belah keempat terbaik dunia oleh CNN Travel dan yang kedua terbaik untuk membeli belah di Asia Pasifik oleh Globe Shopper Index," katanya.

-- BERNAMA

Gold Bullion World tambah ejen

Gold Bullion World Sdn Bhd, syarikat menjual beli emas fizikal milik Bumiputera, komited untuk meningkatkan jumlah ejennya di seluruh negara kepada 16,000 menjelang akhir tahun ini.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/GoldBullionWorldtambahejen/Article
Published: February 02, 2013

Noraini (kanan) melihat koleksi emas sambil diperhatikan Mohd Hamizan pada majlis pelancaran Gold
Bullion World di Kuala Lumpur.
Noraini (kanan) melihat koleksi emas sambil diperhatikan Mohd 
Hamizan pada majlis pelancaran Gold Bullion World di Kuala Lumpur.

Syarikat itu kini memiliki 300 ejen dan sasaran pertambahan itu adalah sejajar dengan hasrat syarikat itu untuk mengukuhkan kehadirannya di pasaran tempatan. Ia juga memberi peluang pembangunan karier kepada orang awam untuk menjadi perunding jual beli emas fizikal.

Ketua Eksekutifnya, Mohd Hamizan Mohd Safaia, berkata emas berbentuk fizikal adalah salah satu simpanan yang sangat bernilai kerana harga dan nilai emas sentiasa dalam aliran meningkat.

Beliau berkata, mengikut rekod, harga emas kekal kukuh untuk tempoh yang panjang iaitu dalam tempoh 10 tahun lalu, harga emas sudah melonjak sebanyak 400 peratus.

Justeru itu, pihaknya berharap lebih ramai rakyat negara ini menjadikan emas sebagai simpanan atau pelaburan jangka panjang.

Nilai wang susut
“Hari ini, kita merasakan duit atau wang adalah sangat bernilai.

Bagaimanapun, tanpa disedari, nilai wang semakin hari semakin menyusut, manakala nilai emas pula semakin meningkat. Justeru itu, kami menggalakkan lebih ramai orang untuk membeli emas dan menjadikannya simpananuntuk masa depan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran rasmi syarikatnya di Kuala Lumpur, kelmarin.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad.

Gold Bullion World atau lebih dikenali sebagai Golden World didaftarkan mengikut Akta Syarikat 1965 pada 27 September 2012.

Sijil emas
Ia menjual produk emas jenama nombor satu dunia iaitu PAMP Suisse yang disertakan dengan sijil ketulenan emas yang diterima di seluruh dunia.

Bagi pembelian emas, syarikat itu menerima semua jenis emas dan harga belian akan bergantung kepada kandungan emas dalam sesuatu item yang dibeli.

Wednesday, January 30, 2013

Peserta Azam Tani Fama Jana Hasil RM3,000 Sebulan Jual Ais Krim Putar

KUALA LANGAT, 29 Jan (Bernama) -- Bagi bekas pemandu teksi, Tasripin Mohd Tohir program Projek Azam Tani yang diperkenalkan kerajaan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) ternyata membantu mengubah nasib keluarganya menjalani kehidupan yang lebih selesa dengan pendapatan yang terjamin.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=924593
Published: January 30, 2013

Tasripin, 44, yang mula menjalankan perniagaan menjual makanan di sebuah gerai yang dibina sendiri di hadapan Sekolah Rendah Kebangsaan Olak Lempit di sini bagi menyara isteri dan lima anaknya yang masih bersekolah, dipilih menyertai program itu pada 2009.

Beliau mula berniaga sejak 10 tahun lepas, sebelum membuat keputusan berniaga secara tetap di gerai hadapan sekolah berkenaan pada 2008 dengan dibantu isterinya, Wangiah Tarsun, 44, dengan menjual makanan seperti keropok lekor, pelbagai jenis bebola dan aneka perisa air.

"Selepas dipilih menjadi peserta Azam Tani oleh Fama, saya mula berfikir apakah makanan yang sesuai untuk ditambah di gerai saya. Akhirnya saya dan isteri bersetuju untuk menjual ais krim putar dan menerima bantuan mesin ais krim daripada Fama sejak September lepas," katanya kepada Bernama di sini.

Tasripin berkata perniagaan ais krim putar itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan yang majoritinya adalah kanak-kanak sekolah.

Beliau berkata pendapatan kasarnya yang hanya sekitar RM80 hingga RM100 meningkat kepada RM150 sehari dan mencecah kira-kira RM3,000 sebulan selepas memulakan perniagaan ais krim putar itu.

Projek Azam Tani merupakan satu daripada empat komponen di bawah Program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) yang diperkenalkan bagi membantu golongan kurang berkemampuan mengubah nasib mereka, di mana peserta yang dipilih akan ditawarkan peluang memulakan perniagaan dengan modal awal RM10,000 seorang.

Bercerita lanjut, Tasripin berkata beliau bercadang memperluaskan perniagaannya membeli mesin membuat ais krim dengan kos dianggarkan RM3,000 serta menanam impian mengeluarkan ais krim jenamanya sendiri dan menjual kepada pasaran yang lebih luas.

"Buat masa sekarang, saya membeli cecair ais krim daripada jenama keluaran bumiputera dengan perisa vanila, coklat, strawberi dan campur. Selain itu, saya turut menerima tempahan ais krim putar ini untuk majlis khas seperti perkahwinan dan hari lahir dan pernah terima tempahan sehingga 1,000 unit sehari," katanya.

Beliau turut bercita-cita membeli van sendiri memandangkan van yang digunakan kini adalah pemberian seorang rakan dan berada dalam keadaan kurang memuaskan.

Bagi Tasripin, dalam perniagaan bukan keuntungan yang memberikan kepuasan menyeluruh tetapi hubungan mesra dengan pelanggan juga memainkan peranan penting.

Ketika tinjauan di gerainya, kata-kata beliau itu ternyata benar apabila Tasripin mengingati dan mengenali hampir kesemua nama kanak-kanak sekolah yang merupakan pelanggan tetapnya.

"Saya amat berterima kasih kepada kerajaan dan Fama yang banyak membantu kami sekeluarga. Program ini sangat memberikan manfaat dan perlu diteruskan bagi membantu peniaga kecil untuk memajukan perniagaan mereka," katanya.

Sementara itu, Pengarah Fama Selangor Mansor Omar berkata berdasarkan rekod, 80 peratus daripada 53 peserta yang terbabit dalam projek itu pada 2009 berjaya menjana pendapatan lebih RM1,500 sebulan melalui perniagaan yang mereka jalankan.

-- BERNAMA

MAICCI Applauds Bank Rakyat's Decision On Micro I-Financing Scheme

KUALA LUMPUR, Jan 29 (Bernama) -- The Malaysian Associated Indian Chambers of Commerce & Industry (MAICCI) has welcomed Bank Rakyat's decision to exempt applicants from scrutiny by the Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) and Central Credit Reference Information System (CCRIS) for the new Micro I-Financing Scheme (MUsk).

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/newsbusiness.php?id=924769
Published: January 30, 2013

The micro-financing package announced on Jan 28 is now available at all the bank's branches nationwide and from RM1,000 to RM50,000 with a 2.5 per cent service fee.

In a statement Tuesday, MAICCI President, Datuk K.K. Eswaran said the move provided a "second lease of life" for many small business entrepreneurs, who had been unable to expand their business due to being blacklisted by CTOS or CCRIS.

Eswaran said the organisation had voiced its concern on the blacklisting issue during a courtesy call on Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak in May last year.

"We later presented to him a detailed memorandum highlighting the importance of waiving the CTOS and CCRIS credit reference check, that would benefit many entrepreneurs who were being blacklisted mainly for standing as guarantors," he added.

The MAICCI is an apex Indian business organisation representing the various Indian chambers of commerce and industry and trade associations.

-- BERNAMA 

MAICCI Sambut Baik Keputusan Bank Rakyat Untuk Skim Mikro I-Pembiayaan

KUALA LUMPUR, Jan 29 (Bernama) -- Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) menyambut baik keputusan Bank Rakyat untuk mengecualikan pemohon daripada penelitian rapi oleh Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) untuk Skim Mikro I-Pembiayaan (MUsk).

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=924792
Published: January 30, 2013

Pakej mikro-pembiayaan yang diumumkan pada 28 Jan kini boleh diperoleh di semua cawangan bank seluruh negara dan daripada RM1,000 hingga RM50,000 dengan yuran perkhidmatan 2.5 peratus.

Dalam satu kenyataan Selasa, Presiden MAICCI, Datuk K.K. Eswaran berkata langkah itu menyediakan "peluang kedua" untuk ramai usahawan kecil, yang tidak mampu mengembangkan perniagaan masing-masing kerana disenaraihitamkan oleh CTOS atau CCRIS.

Eswaran berkata pertubuhan itu telah menyuarakan kebimbangan mereka mengenai isu disenaraihitamkan semasa kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan Mei tahun lepas.

"Kami kemudiannya, memberikan kepada beliau memorandum terperinci yang mengetengahkan kepentingan bagi menepikan penelitian rujukan kredit CTOS dan CCRIS, yang akan memberi peluang banyak usahawan yang disenaraihitamkan terutamanya sebagai penjamin," tambah beliau.

MAICCI ialah pertubuhan perniagaan India yang mewakili pelbagai dewan perdagangan dan industri serta persatuan perniagaan India.

-- BERNAMA