Friday, May 25, 2012

Koponas bayar dividen 19.3 peratus

KOPERASI Pos Nasional Berhad (Koponas) mengumumkan pembayaran dividen 19.3 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011 membabitkan RM2.3 juta kepada 6,442 ahlinya di seluruh negara.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Koponasbayardividen19_3peratus/Article/index_html
Published: May 10, 2012

Pengerusinya, Abdul Rahman Md Zain berkata, dividen itu diputuskan selepas mengambil kira pencapaian koperasi itu sepanjang tahun lalu menerusi aktiviti pinjaman, jualan dan pelaburan.

“Koponas memperoleh keuntungan bersih RM3.4 juta tahun lalu. Walaupun kurang berbanding tahun sebelumnya, kadar keuntungan dinikmati setiap ahli masih sama,” katanya pada mesyuarat agung perwakilan tahunan ke-35 Koponas dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Berhad, Datuk Khalid Abdol Rahman.

Friday, May 11, 2012

Koperasi diunjur sumbang KDNK 10%

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KoperasidiunjursumbangKDNK10_/Article/index_html

Published: May 10, 2012

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggariskan beberapa strategi dalam usaha meningkatkan pendapatan koperasi di Malaysia termasuk menjalankan perniagaan yang diusahakan atas nama koperasi berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata usaha berkenaan kini dianggap penting bagi meningkatkan sumbangan sektor koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kini hanya sekitar dua peratus.

“Kita menetapkan menjelang 2015, sumbangan koperasi mencecah lima peratus dan meningkat kepada 10 peratus pada 2020.

“Namun, apa yang dilihat kini peratusan sumbangan sektor ini masih rendah sedangkan tempoh untuk ke tahun 2020 hanya tinggal lapan tahun lagi,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Ekonomi Koperasi 2012 anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, antara cara lain yang boleh diguna pakai koperasi adalah dengan menjalin kerjasama antara koperasi dan syarikat korporat bagi mendapatkan dana dan menjalankan perniagaan dengan lebih berkesan.

“Selain itu, koperasi mikro turut boleh bekerjasama dengan koperasi besar melalui program mentor mentee dan memilih perniagaan yang sesuai untuk jangka masa panjang,” katanya.


Menurutnya, pihaknya sudah melihat beberapa koperasi yang mengusahakan stesen minyak dan ia memberi pulangan baik untuk jangka masa panjang.

“Semua koperasi seharusnya mengambil inisiatif seumpama itu untuk kekal berdaya saing dan menjamin kemudahan di kalangan ahli,” katanya.

Menurutnya, kementerian meletakkan sasaran meningkatkan jumlah koperasi kepada 16,000 berbanding 9,000 koperasi sedia ada.

Ia juga dijangka membabitkan usaha mengurangkan jumlah koperasi mikro.

Friday, April 27, 2012

Faedah kewangan mikro Islam

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/FaedahkewanganmikroIslam/Article/index_html

Published: on 27 April 2012

KEWANGAN mikro Islam membuka peluang untuk kewangan Islam membangunkan produk yang menguntungkan, beretika, malah pada masa sama ia mampu menyokong aktiviti keusahawanan sosial dan melabur dalam dana sosial dalam jangka panjang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kewangan mikro Islam adalah kewangan yang terangkum, keusahawanan dan perkongsian risiko menerusi usaha sama kewangan, satu pendekatan yang tidak dimiliki kewangan mikro konvensional.

“Sejak tahun kebelakangan ini, beberapa institusi kewangan mikro menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan Islam berpendapatan rendah dan memenuhi keperluan mereka untuk mendapatkan produk berlandaskan prinsip kewangan Islam.

“Ini menjurus kepada kemunculan mikro kewangan Islam sebagai pasaran baru khusus yang kita perlu memanfaatkannya,” katanya dalam ucapan dasar pada Forum Penyumbang Dunia 2012 di Kuala Lumpur, semalam.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun kemajuan ketara sudah dicapai, institusi kewangan Islam belum berjaya menjadikan perkhidmatan kewangan itu dapat diakses secara meluas, oleh rakyat miskin, satu usaha yang mampu membasmi kemiskinan dengan ketara di seluruh dunia.

Beliau berkata, nadi kewangan Islam ialah semangat dermawan tulen yang terserlah menerusi memberi serta amalan perniagaan. - Bernama

Monday, April 16, 2012

Ekonomi KATMB sasar bank koperasi 2015

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KATMBsasarbankkoperasi2015/Article

Published: on 16 April 2012
Oleh Mohd Zaky Zainuddin

Koperasi Angkatan Tentera Malaysia tawar khidmat kepada orang ramai

KOPERASI Angkatan Tentera Malaysia Bhd (KATMB) menyasar membuka tiga cawangan Ar-Rahnu mulai Julai ini selaras hasrat meluaskan operasinya untuk mencapai sasaran menjadi bank koperasi menjelang 2015. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Brig Jen (B) Datuk Ahmad Zahudi Salleh, berkata pembukaan cawangan perintis Ar-Rahnu masing-masing di Sungai Besi, Kuala Lumpur; Kluang, Johor dan Melaka itu akan menjadi pembuka jalan kepada KATMB menawarkan perkhidmatan kepada orang awam.

“Sejak KATMB beroperasi hampir 51 tahun di Malaysia, kami hanya memberi tumpuan dalam memberi kemudahan pembiayaan kepada ahli yang juga anggota tentera dan pesara tentera, namun dengan adanya Ar-Rahnu, perkhidmatan kami lebih luas sehingga kepada rakyat biasa,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ahmad Zahudi berkata, perniagaan Ar-Rahnu dijangka menjadi aktiviti perniagaan utama KATMB bersama-sama dengan pembiayaan peribadi kepada ahlinya, disusuli dengan pendapatan berasaskan yuran iaitu insurans dan cabang pelaburan lain.

“Kami menjangkakan akan memperoleh keuntungan menerusi cabang Ar-Rahnu selepas dua tahun ia beroperasi,” katanya.

Mengenai pelaburan KATMB tahun ini, beliau berkata, koperasi yang memiliki keahlian mencecah 145,000 orang itu akan terus memberi tumpuan kepada segmen kewangan dan insurans dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai antara koperasi berdaya saing di negara ini.

“Kami sedang merangka pilihan tepat sebelum membuat pelaburan kerana ia menggunakan dana pemegang saham atau kumpulan wang anggota (ahli),” katanya.

Katanya, KATMB bercadang membeli ekuiti dalam syarikat insurans konvensional bagi mengukuhkan perkhidmatan insuransnya di Malaysia.

“Kini, kami sedang meninjau beberapa syarikat yang memiliki reputasi yang baik sebelum memuktamadkan sebarang langkah pembelian ekuiti,” katanya.

Setakat ini, ia memiliki pegangan 30 peratus dalam Great Eastern Takaful Malaysia, hasil usaha sama dengan I-Great Capital iaitu anak syarikat milik penuh Great Eastern Capital Malaysia.

Tahun lalu, KATMB melabur sebanyak RM103 juta dalam pelbagai bidang termasuk hartanah, pembuatan, pengilangan dan perkhidmatan dengan sektor berkaitan kewangan menjadi penyumbang terbesar dari segi pulangan iaitu sebanyak 75 peratus.

Sehingga kini, KATMB memiliki pegangan ekuiti sebanyak 16.44 peratus dalam PacificMas Bhd, syarikat yang tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia (dahulunya Pacific Bank Bhd) dan 15 peratus dalam Syarikat Pacific Mutual Fund Bhd.

Mengenai prestasi kewangan, Ahmad Zahudi berkata, KATMB menyasar meraih pendapatan sebanyak RM260 juta tahun ini, unjuran pertumbuhan lebih kecil kira-kira lapan peratus berbanding RM241 juta pada 2011.

Beliau berkata, pertumbuhan lebih kecil itu hasil kajian dilaksanakan koperasi berdasarkan jangkaan trend pembiayaan yang menurun sebelum ia kembali meningkat untuk beberapa tahun akan datang.

“Dari segi keuntungan bersih, kami jangka ia mampu mencapai RM177 juta berdasarkan perkembangan dari segi pendapatan luar biasa iaitu pulangan pelaburan yang dianggarkan mencecah RM60 juta hingga RM70 juta tahun ini,” katanya.

Pendapatan tahun lalu dicatatkan sebanyak RM241 juta, meningkat 30 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 33 peratus kepada RM209 juta. 

Thursday, April 12, 2012

Angkasa rancang buka 20 pusat dialisis

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Angkasarancangbuka20pusatdialisis/Article/index_html

Published: on 12 April 2012

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) melebarkan lagi sayap perniagaannya menerusi bidang perkhidmatan dialisis dengan sasaran membuka 20 pusat dialisis seluruh negara menjelang Jun depan membabitkan lokasi pertama di Bayan Baru, Pulau Pinang dan Temerloh, Pahang.

Presiden Angkasa, Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum berkata, pihaknya memberi peluang kepada ahli gabungan membabitkan diri dalam perkhidmatan itu sebagai sebahagian daripada aktiviti perniagaan selain membantu ahli koperasi mendapatkan rawatan pada harga rendah dan tidak membebankan.

“Kewujudan pusat dialisis MyAngkasa ialah satu inisiatif murni untuk koperasi melebarkan lagi sayap perniagaan dan melengkapkan pembabitan aktiviti dalam pembangunan bidang nefrologi di negara ini.

“Selain dapat menstabilkan harga perkhidmatan dialisis demi manfaat semua golongan masyarakat, penubuhan pusat ini juga dapat merangsang sektor koperasi untuk menceburi bidang ini secara lebih meluas sekali gus menjadikannya sebagai pemangkin kepada aktiviti pembuatan komponen serta penubuhan Institut Latihan Nefrologi Malaysia tidak lama lagi,” katanya selepas majlis perasmian bangunan Angkasa Negeri Sembilan di Pusat Perniagaan Betaria di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi Negeri Sembilan, Datuk Yunus Rahmat yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bangunan tiga tingkat yang sebelum ini menempatkan Koperasi Serbamaju Daerah Jempol dibeli Angkasa pada harga RM429,000 akan menempatkan Pejabat Perhubungan Negeri Sembilan di tingkat satu dan dua manakala tingkat bawah menempatkan Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa (Kopsya).


Mengenai rancangan tahun ini, Dr Mohd Ali berkata, koperasi itu akan terus menggerakkan pelbagai aktiviti ekonomi termasuk dalam bidang pembangunan hartanah, membuka rangkaian perniagaan kedai perkakasan dan perkhidmatan kesihatan.

Katanya, Angkasa melancarkan satu skim baru membabitkan pinjaman hartanah berasaskan syariah yang dikendalikan Kopsya, dijangka awal bulan depan, yang akan memberi manfaat kepada ramai ahli.

Wednesday, March 28, 2012

Koperasi mikro perlu bergabung

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Koperasimikroperlubergabung/Article/index_html

Published: on 28 March 2012
Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri
kartika@hmetro.com.my

BANYAK PILIHAN...Ismail memegang santan Coop 1Malaysia selepas merasmikan kedai berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.
BANYAK PILIHAN...Ismail memegang santan Coop 1Malaysia 
selepas merasmikan kedai berkenaan di Kuala Lumpur, semalam. 

KERAJAAN menggesa syarikat koperasi mikro di negara ini bergabung bagi memperkasakan lagi sektor koperasi di Malaysia, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengerusi koperasi mikro perlu lebih bersikap terbuka terhadap idea penggabungan itu terutama dalam usaha merealisasikan sasaran 10 peratus sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK) menjelang 2020.

Beliau berkata, setakat ini 85 peratus daripada koperasi di seluruh negara adalah koperasi mikro yang mempunyai pendapatan purata tahunan kurang daripada RM250,000 berbanding hanya 124 koperasi yang mencatat perolehan perniagaan RM5 juta setahun.

“Pihak kerajaan sentiasa peka akan keperluan rakyat terutama melalui gerakan koperasi yang menjadi sektor ketiga penting dalam pembangunan negara dan disebabkan itu, kita menggalakkan juga lebih banyak penubuhan Kedai Coop 1Malaysia,” katanya pada majlis perasmian Wisma Moccis dan Coop 1Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Koperasi Pegawai Melayu Malaysia Berhad (Moccis), Datuk Yusra Sabar dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Md Yusof Samsudin.

Sementara itu, Yusra berkata pihaknya menyasarkan penambahan ahli Moccis iaitu daripada 8,600 kepada 10,000 orang menjelang akhir tahun ini dan jumlah itu dijangka dicapai berikutan pembukaan Coop 1Malaysia serta pemberian dividen kepada ahli Moccis.


Beliau berkata, pada tahun ini, pihaknya turut menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pendapatan kepada RM10 juta di sokong dengan penambahan pelbagai produk jualan di Coop 1Malaysia dan kerjasama strategik dengan koperasi lain seperti Kofama, Kobanas, Kotani serta Sistem Pengurusan Komputer Koperasi (SPKK).

Tuesday, March 6, 2012

Koperasi bantu biayai Tukar

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KoperasibantubiayaiTukar/Article/index_html

Published: on 06 March 2012

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan sebanyak 500 peruncit di seluruh negara menyertai program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) tahun ini.
Sehingga kini, sebanyak 49 kedai runcit sudah menyertai program tersebut.

Ketua Penolong Pengarah KPDNKK Putrajaya, Nor Azhar Manap berkata program Tukar itu menarik 519 peruncit yang menyaksikan jualan masing-masing meningkat antara 10 peratus sehingga 200 peratus mengikut lokasi.

“KPDNKK bercadang untuk mengadakan satu sistem baru bagi permohonan program Tukar yang ditolak iaitu kaedah pinjaman daripada koperasi bagi mendapatkan pembiayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar latihan dan pembangunan Tukar yang dikendalikan Aeon Co (M) Bhd di Seberang Prai City di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.

Menurut Nor Azhar, kementerian juga akan menyemak semula penyertaan yang ditolak, sambil menambah sebanyak 2,000 permohonan diterima tahun lalu, tetapi hanya 519 yang layak mendapat pinjaman.


Inisiatif ini adalah kerjasama antara kerajaan, pengendali pasar raya besar seperti Carrefour, Tesco, Sunshine, Mydin dan Aeon untuk memodenkan kedai runcit tradisional. - Bernama