Monday, April 16, 2012

Ekonomi KATMB sasar bank koperasi 2015

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KATMBsasarbankkoperasi2015/Article

Published: on 16 April 2012
Oleh Mohd Zaky Zainuddin

Koperasi Angkatan Tentera Malaysia tawar khidmat kepada orang ramai

KOPERASI Angkatan Tentera Malaysia Bhd (KATMB) menyasar membuka tiga cawangan Ar-Rahnu mulai Julai ini selaras hasrat meluaskan operasinya untuk mencapai sasaran menjadi bank koperasi menjelang 2015. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Brig Jen (B) Datuk Ahmad Zahudi Salleh, berkata pembukaan cawangan perintis Ar-Rahnu masing-masing di Sungai Besi, Kuala Lumpur; Kluang, Johor dan Melaka itu akan menjadi pembuka jalan kepada KATMB menawarkan perkhidmatan kepada orang awam.

“Sejak KATMB beroperasi hampir 51 tahun di Malaysia, kami hanya memberi tumpuan dalam memberi kemudahan pembiayaan kepada ahli yang juga anggota tentera dan pesara tentera, namun dengan adanya Ar-Rahnu, perkhidmatan kami lebih luas sehingga kepada rakyat biasa,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ahmad Zahudi berkata, perniagaan Ar-Rahnu dijangka menjadi aktiviti perniagaan utama KATMB bersama-sama dengan pembiayaan peribadi kepada ahlinya, disusuli dengan pendapatan berasaskan yuran iaitu insurans dan cabang pelaburan lain.

“Kami menjangkakan akan memperoleh keuntungan menerusi cabang Ar-Rahnu selepas dua tahun ia beroperasi,” katanya.

Mengenai pelaburan KATMB tahun ini, beliau berkata, koperasi yang memiliki keahlian mencecah 145,000 orang itu akan terus memberi tumpuan kepada segmen kewangan dan insurans dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai antara koperasi berdaya saing di negara ini.

“Kami sedang merangka pilihan tepat sebelum membuat pelaburan kerana ia menggunakan dana pemegang saham atau kumpulan wang anggota (ahli),” katanya.

Katanya, KATMB bercadang membeli ekuiti dalam syarikat insurans konvensional bagi mengukuhkan perkhidmatan insuransnya di Malaysia.

“Kini, kami sedang meninjau beberapa syarikat yang memiliki reputasi yang baik sebelum memuktamadkan sebarang langkah pembelian ekuiti,” katanya.

Setakat ini, ia memiliki pegangan 30 peratus dalam Great Eastern Takaful Malaysia, hasil usaha sama dengan I-Great Capital iaitu anak syarikat milik penuh Great Eastern Capital Malaysia.

Tahun lalu, KATMB melabur sebanyak RM103 juta dalam pelbagai bidang termasuk hartanah, pembuatan, pengilangan dan perkhidmatan dengan sektor berkaitan kewangan menjadi penyumbang terbesar dari segi pulangan iaitu sebanyak 75 peratus.

Sehingga kini, KATMB memiliki pegangan ekuiti sebanyak 16.44 peratus dalam PacificMas Bhd, syarikat yang tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia (dahulunya Pacific Bank Bhd) dan 15 peratus dalam Syarikat Pacific Mutual Fund Bhd.

Mengenai prestasi kewangan, Ahmad Zahudi berkata, KATMB menyasar meraih pendapatan sebanyak RM260 juta tahun ini, unjuran pertumbuhan lebih kecil kira-kira lapan peratus berbanding RM241 juta pada 2011.

Beliau berkata, pertumbuhan lebih kecil itu hasil kajian dilaksanakan koperasi berdasarkan jangkaan trend pembiayaan yang menurun sebelum ia kembali meningkat untuk beberapa tahun akan datang.

“Dari segi keuntungan bersih, kami jangka ia mampu mencapai RM177 juta berdasarkan perkembangan dari segi pendapatan luar biasa iaitu pulangan pelaburan yang dianggarkan mencecah RM60 juta hingga RM70 juta tahun ini,” katanya.

Pendapatan tahun lalu dicatatkan sebanyak RM241 juta, meningkat 30 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 33 peratus kepada RM209 juta. 

No comments:

Post a Comment